Saturday, May 2, 2009

Harga: RM15.00




MUKADIMAH

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sesungguhnya segala puji-pujian hanya milik Allah, kami memuji, memohon pertolongan, memohon keampunan serta memohon taubat hanya kepadaNya. Kami berlindung kepada Allah dari keburukan jiwa-jiwa kami dan dari kerosakan amalan kami. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, nescaya tiada seorangpun yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang disesatkan olehNya, nescaya tiada seorangpun yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah yang tiada sekutu bagiNya dan aku turut bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Selawat serta salam senantiasa tercurah kepada Baginda, kepada keluarganya, para sahabatnya dan sesiapa sahaja yang mengikuti petunjuknya hingga ke hari kiamat.

Kami memohon kepada Allah yang Maha Agung untuk menyinari pandangan-pandangan kami dengan tauhid, menegakkan hati-hati kami di atas agamaNya, memberikan kenikmatan kepada kami dengan istiqamah, melindungi kami dari penyelewengan dan kesalahan dalam setiap perkataan dan perbuatan. Kami berlindung kepada-Nya dari fitnah (ujian) dalam perkataan, sebagaimana kami berlindung kepadaNya dari fitnah dalam amalan, kerana keduanya merupakan ujian yang membawa bencana yang sangat besar. Amma ba’d:

Buku ini merupakan hasil ringkasan daripada beberapa buah buku berkaitan subjek Jarh wa Ta’dil yang telah dipelajari oleh kedua orang penulis. Antara buku yang menjadi rujukan utama bagi kedua penulis adalah ‘Metod Islam dalam Lapangan Jarh wa Ta’dil’ hasil karya Dr. Faruq Hammadah yang diajar di sekitar universiti di Maghribi. Selama berada di sana, kedua penulis telah sempat belajar berkaitan ilmu hadis dan keilmuannya dengan Dr. Faruq Hammadah, Dr. Ahmed Benkiran, Dr. Hassan el-Alami dan ramai lagi para pensyarah ketika di kuliah.

Manakala, ketika di luar kuliah kami sempat bertalaqqi kitab Fath al-Bari huraian pada Sahih al-Bukhari dengan Almarhum Syeikh Muhammed el-Habti al-Muwahibi merupakan salah seorang anggota Persatuan Ulama Maghrib di Wilayah Kenitra. Juga, sebahagian ilmu dari gurunya iaitu Syeikh Abd el-Kebir Bekri merupakan ulama dan pentahqiq kitab al-Tamhid karya Ibn Abd al-Barr bagi Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam di Maghribi. Semoga Allah memberikan ganjaran yang terbaik buat mereka dan kita semua dalam memartabatkan ilmu hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dari dunia hingga akhirat. Amin!

Sebelum kajian hadis dapat dilakukan, terlebih dahulu seseorang itu perlu memperhatikan kepada kesahihan hadis itu dari dua aspek utama iaitu sanad dan matan. Bagi setiap sanad hadis dapat dipastikan kebenarannya, terlebih dahulu harus dipelajari kaedah-kaedah ilmu Jarh wa Ta’dil. Keupayaan ilmu ini dalam mengesan kebenaran hadis dan ketepatannya telah banyak diguna pakai oleh ahli hadis sejak zaman berzaman.

Dengannya, mereka dapat mengesan dan mengetahui syarat-syarat periwayat yang dapat diterima, cara menetapkan keadilan dan kedhabitan periwayat serta perkara lain yang berhubungan dengan kajian ini.

Seseorang itu tidak akan dapat memperoleh sesebuah biografi periwayat secara terperinci, jika mereka tidak terlebih dahulu mengetahui kaedah-kaedah yang digunakan di dalam ilmu Jarh wa Ta’dil. Begitu juga dengan maksud dan tingkatan istilah yang digunakan di dalam ilmu ini, dari tingkatan Ta’dil yang tertinggi hingga ke peringkat atau tingkatan Jarh yang paling rendah martabatnya.

Jelasnya ilmu Jarh wa Ta’dil ini dipergunakan untuk menetapkan bagi sesebuah periwayatan dari seseorang periwayat itu sama ada boleh diterima atau harus ditolak sahaja. Apabila seseorang periwayat ‘dicacatkan’ periwayatannya (Jarh) oleh para ahli hadis yang lain sebagai periwayat yang mempunyai kecacatan (Jarh), maka periwayatannya harus ditolak. Sebaliknya, bila dipuji (Ta’dil) maka hadisnya boleh diterima dengan sebaiknya selagi cukup syarat-syarat yang diperlukan.

Sementara itu, bagi ulama yang melakukan Ta’dil dan Tajrih itu haruslah memenuhi syarat-syaratnya, seperti berilmu pengetahuan, bertakwa, bersikap warak, jujur, amanaha, menjauhi sifat fanatik terhadap golongannya dan mengetahui ruang lingkup ilmu Jarh wa Ta’dil ini.

Oleh itu, kami mengharapkan anda semua mendapat manfaat dari ilmu ini. Segala kebaikan itu datangnya dari Allah Taala yang tiada sekutu bagiNya. Sedangkan segala kekurangan dan kesilapan itu adalah datang dari minimanya ilmu yang kami miliki. Kami senantiasa memohon kepada Allah agar kita semua mendapat kebaikan dan keberkatan dari ilmu ini.

Akhir kata, segala selawat dan salam buat Rasul junjungan Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam, keluarga dan para sahabat Baginda yang terpilih. Para ulama dan generasi zaman berzaman yang mengikuti jejak langkah mereka hingga hari akhirat. Hanya puji-pujian untuk Allah sekalian alam. Amin!

Dari kami yang mengharapkan keredaan dan ampunan Allah Taala:

 

Rosli bin Mokhtar

B.A & M.A Pengajian Islam

Universiti Muhamad V, Rabat, Maghribi

 

Mohd Fikri bin Che Hussain

B.A Pengajian Islam

Universiti Ibnu Tofail, Kenitra, Maghribi

 

Siap ditulis pada:

1 Muharram 1429H

10/01/2008M


No comments:

Post a Comment